Sunday, 26 December 2021

PENGURUSAN PENASIHATAN MURID

PENGENALAN

Tugas seorang guru bukan hanya sebagai seorang pendidik yang hanya mengajar pada sesi pengajaran dan pembelajaran. Tetapi tugas seorang guru adalah memastikan pelajar mempunyai potensi dari segala aspek, iaitu, intelek, emosi, jasmani dan rohani. Ketiga-tiga aspek ini perlu bergerak seiring. Dari segi emosi, guru perlu memastikan pelajar tidak menghadapi masalah yang boleh mengganggu pelajar tersebut dalam pelajarannya. Oleh itu, sangat penting bagi pihak sekolah bagi memastikan pelajar mempunyai emosi yang baik dan stabil. Nasihat merupakan pendekatan yang menggunakan kaedah lisan atau fizikal untuk membantu seseorang menentukan matlamat, merancang tindakan dan memperbaiki sikap serta tingkah laku dalam aspek-aspek tertentu. Penasihat penting di sekolah kerana mampu mengatasi masalah tekanan atau tingkah laku pelajar dimana ini sedikit sebanyak dapat membantu pelajar daripada tingkah laku negatif kepada tingkah laku positif. Oleh kerana itu,khidmat kaunseling di sekolah-sekolah Malaysia bermula pada tahun 1968, ketika itu, ia dikenali sebagai “Khidmat Bimbingan”. Kaunseling penting bagi membantu seseorang itu dari segi motivasi dan juga strategi yang betul dalam melakukan sesuatu. Guru merupakan seorang yang penting dalam membentuk seseorang pelajar yang berjaya. Guru membimbing pelajar untuk menghadapi cabaran dan halangan hidup pada masa hadapan. Tanpa mereka sukar untuk membentuk pelajar yang berpotensi. Selain itu, setiap pelajar mempunyai minat dan kemahiran yang tersendiri dan guru berperanan untuk memastikan bakat dan kemahiran yang diperolehi itu diasah dan boleh digunakan pada masa hadapan. Sesetengah pelajar juga sukar untuk membuat keputusan dalam kehidupannya menyebabkan mereka salah dalam membuat pilihan. Ini merupakan tugas seorang guru bagi memastikan pelajar membuat keputusan yang terbaik buat diri mereka. Masalah-masalah ini sering dihadapi oleh pelajar, oleh itu, pelbagai pendekatan yang telah dilakukan untuk membantu pelajar-pelajar di sekolah bagi mengatasi kemelut dan permasalahan yang dihadapi mereka. Antaranya adalah melalui kaedah bimbingan, penasihatan dan mentoring.


ISI-ISI PENTING 

10.1 BIMBINGAN

10.1.1 DEFINISI BIMBINGAN

Menurut Crow & Crow (1960), bimbingan adalah bantuan yang diberikan oleh seseorang, baik lelaki dan perempuan, yang memiliki peribadi dan pendidikan yang memadai kepada seorang individu dari setiap peringkat usia untuk menolongnya mengarahkan kegiatan hidupnya sendiri, membuat pilihannya sendiri dan menanggung akibatnya sendiri. 

Shertzer dan Stone (1971) pula mendefinisikan bimbingan sebagai satu proses menolong individu untuk memahami diri dan alam sekelilingnya. Proses ini menunjukkan satu usaha yang berterusan dan melibatkan banyak langkah dalam mencapai matlamat. Bimbingan dilihat sebagai memberi perkhidmatan kepada pelajar yang normal.

Manakala Amla at ala (2006) menyatakan bahawa bimbingan merupakan suatu proses yang berkaitan dengan cara membantu orang lain atau suatu usaha menyediakan pengalaman untuk membantu pelajar memahami diri.

10.1.2 CIRI- CIRI BIMBINGAN

Bimbingan merupakan aktiviti yang dirancang. Ia bukanlah kegiatan yang dilakukan secara kebetulan, secara tiba-tiba, tidak sengaja dan sambil lewa tetapi ia adalah satu kegiatan yang tersusun, sengaja, berencana, berterusan dan mempunyai arah tujuan. Bimbingan merupakan proses membantu individu atau kumpulan. Bimbingan tidak memaksa seseorang itu mengikut arah yang tertentu, melainkan membantu atau menolong individu mengikut arah yang sesuai dengannya. Bimbingan yang diberikan kepada individu yang memerlukan bantuan untuk memecahkan permasalahan yang dihadapinya.


10.2 PENASIHATAN

10.2.1 DEFINISI PENASIHATAN

Penasihatan ialah memberi nasihat ialah strategi menyelesaikan masalah tanpa memikirkan perasaan individu yang terlibat (Zuraidah 1994). Selain itu, menurut Gibson & Mitchell (1999), nasihat digunakan bagi menyediakan klien dengan maklumat baru dan berguna. Manakala, menurut Kamus Dewan pula, Nasihat ialah ajaran, petunjuk yang baik, peringatan mengusulkan, mengesyorkan atau menganjurkan kepada seseorang tentang pelbagai hal (Kamus Dewan).

10.2.2 CIRI-CIRI PENASIHATAN

• Berfokus kepada permasalahan yang dihadapi daripada menumpukan kepada diri individu yang bermasalah. 

• Berbentuk arahan atau suruhan daripada seorang yang dianggap lebih berautoriti kepada seorang lain. Orang yang berautoriti ini adalah lebih berpengalaman, banyak pengetahuan, mempunyai kelayakan dan pengiktirafan.

• Memberi nasihat adalah strategi yang paling cepat untuk mengatasi permasalahan jika nasihat itu meninggalkan kesan.


10.2.3 PROSES BIMBINGAN DAN PENASIHATAN 

Proses bimbingan dan penasihatan mempunyai lima fasa iaitu fasa pertama ialah fasa kesedaran guru sebagai pembimbing dan penasihatan pelajar. Dalam fasa ini, pihak pengurusan sekolah terlebih dahulu perlu menerima konsep ini. Penekanan haruslah diberikan kepada guru yang mengajar pelajar kerana mereka lebih rapat dan arif mengenai pelajar-pelajar mereka berbanding guru yang tidak mengajar. Mereka perlu disedarkan tentang kepentingan perkhidmatan bimbingan dan penasihatan sebagai pengelola dan sumber rujukan pelajar. Seterusnya, fasa kedua pula ialah menguasai kemahiran-kemahiran asas bimbingan dan penasihatan. Pada tahap ini, semua guru dibantu dan diterapkan dengan beberapa kemahiran asas bimbingan dan penasihatan melalui kursus, seminar dan bengkel khas. Antara kemahiran-kemahiran yang dicadangkan iaitu, Kemahiran perkembangan personaliti, Kemahiran melayan dan kemahiran mendengar, Kemahiran lisan (verbal) dan bukan lisan (non verbal), Kemahiran mengenal pasti pelajar yang bermasalah, Kamahiran asas teori dan teknik kaunseling dalam proses menolong. Penguasaan kemahiran-kemahiran ini boleh dijalankan secara berperingkat dan merupakan asas menjadi guru pembimbing yang berkesan.

Fasa ketiga ialah proses mengenali pelajar. Pada tahap ini, guru-guru dapat mengaplikasi kemahiran-kemahiran asas kaunseling dan boleh mengenal pasti pelajar-pelajar yang memerlukan bimbingan dan  penasihatan. Secara umumnya, pelajar yang memerlukan bimbingan ini dapat dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu, Pelajar yang datang secara sukarela, Pelajar yang di bawah pemerhatian, Pelajar yang dikenalpasti sendiri oleh guru-guru sebagai memerlukan bimbingan melalui pemerhatian dan diagnosis. Antara teknik atau kaedah yang boleh digunakan oleh guru untuk tujuan mengumpul maklumat tentang pelajar yang menerima perkhidmatan bimbingan ini ialah teknik ujian, temubual, soal selidik, teknik sosiometrik, teknik skala pemeringkatan, teknik autobiografi dan rekod kesihatan. Manakala, fasa keempat pula ialah proses membimbing pelajar. Secara khususnya, pelajar akan dibimbing melalui tiga cara iaitu menjalankan bimbingan secara individu, bimbingan secara kelompok dan juga konsultansi yang melibatkan ibu bapa. Oleh kerana pelajar memerlukan perhatian yang khusus, guru pembimbing lebih dapat mendekati pelajar melalui bimbingan secara individu kerana pelajar merasakan dapat diberi perhatian sepenuhnya oleh guru. Manakala bimbingan kelompok melibatkan pelajar-pelajar yang mempunyai masalah yang sama seperti program yang berbentuk motivasi, kemahiran pelajar, dan personal. Terdapat enam tahap dalam proses membimbing pelajar, iaitu 

1. MEMBINA HUBUNGAN

– Di tahap ini guru membina perhubungan yang mesra, saling mempercayai dan selamat dengan pelajar agar perbincangan dapat dijalankan dengan lebih baik. 

– Guru juga perlu mengingati bahawa setiap individu itu unik dan mempunyai potensi untuk bergerak ke arah kebaikan. 

– Guru harus menerima pelajar seadanya iaitu melalui penerimaan positif tanpa syarat, memperlihatkan ketulenan dan ikhlas sehingga pelajar yakin bahawa guru adalah seorang yang boleh dipercayai, kompeten, dan peramah.

– Contoh : guru melihat pelajar muram dan tidak ceria sewaktu dalam kelas, lantas mendekati pelajar tersebut.

     “Apa khabar Amy, saya lihat Amy macam sedih saja. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” 

2. PENEROKAAN

– Pada tahap ini, guru cuba membantu pelajar dengan meneroka permasalahan utama mereka melalui beberapa kemahiran tertentu supaya pelajar dapat memberitahu apakah masalah yang dialaminya dengan jelas. 

– Tugas guru pembimbing ialah mendengar dan meneroka dengan teliti dan penuh empati. Tujuannya untuk mendapat gambaran masalah pelajar tersebut.

– Contoh: 

Pembimbing : “Apa agaknya yang mendorong Amy berjumpa dengan saya hari ni?”

Amy:      “Entahlah cikgu, saya betul-betul sedih. Kawan saya Ani memarahi saya tadi, saya bukan buat salah besar pun.....”

Pembimbing : hmm...... ...kawan awak marah ? (dorongan minima)

3. DEFINISI MASALAH DAN MEMBINA MATLAMAT

– Guru perlu melihat dengan lebih mendalam permasalah pelajar  melalui pendefinisian permasalahan utama dan membina matlamat mereka. 

– Pada tahap ini biasanya, pelajar dan guru telah dapat mengenalpasti apakah masalah utama yang menyebabkan pelajar berkeadaan sedemikian. Matlamat tidak akan tercapai seandainya masalah utama tidak dikenalpasti.

– Apa yang penting, pelajar akan dibantu oleh guru untuk melihat apakah matlamat utama bagi mengatasi masalah dirinya.

– Contoh:

Pembimbing : “Dari apa yang telah Amy beritahu saya, Amy merasakan bahawa sikap cuailah yang menyebabkan Amy dimarahi oleh Ani. Agaknya, apa yang ingin Amy lakukan untuk mengatasi masalah ini”

Pelajar : “Ya....Saya rasa, saya perlu lebih berhati-hati ketika menggunakan peralatan     kawan-kawan...saya tak sanggup dimarah sekali lagi”.

4. ALTERNATIF PENYELESAIAN DAN PELAN TINDAKAN

– Pelajar akan dibantu membuat beberapa alternatif penyelesaian terhadap permasalahan yang mereka alami dan membantu mereka merancang tindakan yang sesuai selaras dengan kemampuan mereka. 

– Setelah situasi sebenar difahami, berlaku proses perbincangan antara dua pihak untuk melihat alternatif-alternatif penyelesaian dan pilihan-pilihan yang dibuat perlu membawa implikasi positif.

– Contoh:

Pembimbing :“Selain mengamalkan sikap lebih berhati-hati ketika menggunakan peralatan rakan-rakan,  apa agaknya yang Amy dapat lakukan supaya kawan-kawan lebih menghormati dan yakin terhadap Amy?” 

Pelajar : “Saya rasa, saya perlu membeli sendiri barang-barang tersebut, tak perlu pinjam-meminjam lagi. Kalau tidak cukup wang saya boleh kumpul duit sedikit demi sedikit. Cuma mungkin ambil masa sedikit untuk dapat mengumpulkan jumlah yang diperlukan. 

5. MELAKSANAKAN TINDAKAN

• Tahap seterusnya ialah melaksakan tindakan yang dibincangkan dan membuat penilaian terhadap tindakan tersebut. 

6. PENAMATAN

• Setelah pelajar mencapai matlamat dan objektifnya, maka hubungan bimbingan bolehlah ditamatkan. Guru akan memantau pelajar seterusnya melalui tindakan susulan.

Seterusnya, fasa kelima ialah analisi penilaian. Fasa ini melihat keberkesanaan perhubungan bimbingan dan penasihatan itu sama ada berkesan atau tidak berkesan. Hasil analisis ke atas pelajar dibahagikan kepada dua kategori iaitu berjaya dibimbing atau tidak berjaya dibimbing. Keputusan dari fasa ini akan dijalankan ke dalam fasa berikutnya jika perlu. 


10.3 MENTORING

10.3.1 DEFINISI MENTORING 

Merupakan satu proses memberi bimbingan, sokongan dan bantuan secara profesional (terlatih dan beretika, berkemahiran dan sistematik) dalam menghadapi krisis hidup dan pembangunan diri individu.

Sarah Fletcher (2000) pula mengatakan mentoring bermaksud membimbing dan menyokong pelajar (mantee) supaya beliau dapat melalui satu transisi sukar dengan lebih mudah, tentang melicinkan tatacara, yang dapat membenarkan, menyakinkan di samping mengurus  dan mengarahkan.

Daripada konteks pendidikan pula, mentoring adalah gabungan melatih (coaching), kauseling dan penilaian, di masa guru berpengalaman (mentor) di berikan tanggongjawab untuk membantu guru baru (mantee)  mendalami perkembangan professional.

• Mentor – individu berpengalaman

• Mantee – individu/sekumpulan individu yang ingin maju dalam bidang berkenaan


10.3.2 CIRI-CIRI MENTORING

• Proses pembelajaran yang aktif buat mantee

• Yang dipentingkan adalah perkembangan personal dan professional yang berterusan

• Untuk memudahkan sesuatu transisi dan memastikan berlaku perkembangan positif

• Bertindakbalas terhadap kelebihan individu, nilai dan keperluan mentor dan mantee

• Bertimbangrasa dan akur kepada kesilapan yang sukar dielakkan

• Menerima kesilapan yang boleh diterima dan yang tidak


10.3.3 PROSES MENTORING

Proses mentoring yang pertama ialah menjalin perhubungan. Perhubungan mentor-mantee adalah aspek penting yang perlu dijalin semasa mentoring. Walaubagaimanapun langkah ini tidak boleh  dilakukan secara gopoh-gapah dan tidak pula boleh ditinggalkan. Berikan masa dan tingkatkanlah usaha supaya terbina perhubungan yang dikehendaki. Mentor dan mentee perlu menggunakan masa yang sesuai untuk mengenali satu sama lain supaya mereka timbul rasa saling mempercayai.  Jika ini berlaku baik maka proses mentoring akan menjadi satu aktiviti yang mudah dan bermakna.

Proses mentoring yang kedua ialah merundingkan persetujuan atau perjanjian. Langkah seterusnya adalah untuk  mentor dan mantee sama-sama menjana persetujuan/ perjanjian yang perlu dilaksana dan dipatuhi oleh mereka semasa sesi mentoring. Perjanjian  meliputi  penyediaan jadual untuk sesi mentoring, mengenalpasti batasan serta cara dan teknik mentoring . Wujudnya perjanjian bersama ini akan mengujudkan perhubungan yang harmoni.

Proses mentoring ketiga adalah perkembangan professional mantee. Merupakan langkah utama (dan lama) mentoring kerana ia melibatkan fungsi dan peranan mentoring itu sendiri. Pada ketika ini, kedua-dua mentor dan mentee perlulah menentukan matlamat mentoring, menjana senarai latih-tubi dan aktiviti mentoring supaya  matlamatnya tercapai. Pada ketika juga, perlu ada usaha untuk mengwujudkan perhubungan yang harmoni dan berterusan antara mereka.

Proses mentoring yang keempat ialah menamtkan perhubungan. Proses mentoring berakhir apabila matlamatnya tercapai di mana ia dinilai oleh mereka yang berkenaan. Perhubungan mentoring hendaklah berakhir dengan tahap pencapaian positif iaitu satu transformasi berperingkat kepada perhubungan yang kasual. Mentoring tidak sepatutnya berakhir tiba-tiba. Dalam kes tertentu pula, perhubungan mentor-mantee akan berkembang kepada sesuatu yang lebih kekal.  




KESIMPULAN

Topik 10 adalah berkaitan dengan pengurusan penasihatan murid. Bab ini menjelaskan tentang fungsi seorang guru bukan sahaja mengajar bahkan sebagai penasihat kepada para pelajarnya agar mereka yang mempunyai masalah dapat dibantu dengan sebaiknya. Sesi kaunseling terhadap pelajar amat perlu terutamanya bagi pelajar yang mempunyai masalah dalam pembelajaran mahupun kendiri. Pengurusan penasihatan murid ini sangat penting untuk dilaksanakan agar masalah-masalah yang berlaku dapat diatasi hingga ke akar umbi. Namun begitu, pelbagai aspek haruslah ditekankan ketika memberikan sesi kaunseling dan bimbingan iaitu dengan mematuhi kod etika bimbingan & kaunseling serta tidak melakukan perkara yang bercanggah daripada aspek bimbingan & kaunseling. Sebagai seorang guru, sikap profesional dalam menangani isu dan masalah pelajar sangat diperlukan agar pelajar dapat memberikan kerjasama dalam menyelesaikan masalahnya.


PENGURUSAN PENASIHATAN MURID

PENGENALAN Tugas seorang guru bukan hanya sebagai seorang pendidik yang hanya mengajar pada sesi pengajaran dan pembelajaran. Tetapi tugas s...